WARISAN nafi sokong Hishammuddin Perdana Menteri baharu
11 JUN: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menafikan mengadakan kesepakatan bersama PAS untuk menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua Jr, berkata pihaknya turut menyangkal isi kandungan satu kenyataan yang kini tular kononnya dikeluarkan secara bersama kedua-dua parti itu berhubung perkara terbabit.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan media bersama PAS bertarikh 11 Jun 2021 itu dan menganggapnya sebagai fitnah.
“Isu kandungan kenyataan ini turut memalsukan tandatangan saya sebagai mewakili parti, malah ingin ditegaskan, saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak WARISAN mahupun atas kapasiti peribadi, mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama PAS untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.
“WARISAN tidak pernah terbabit dengan kenyataan media itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Loretto berkata, perbuatan seperti itu adalah tindakan orang yang kemaruk kuasa, sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tandatangannya.
“Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini.”
“Diharap ahli-ahli WARISAN bertenang dan kekal diposisi kerana hanya mereka yang kemaruk kuasa sahaja sanggup melakukan perkara seperti ini,” katanya.
Media semalam melaporkan, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mendakwa, pihaknya menerima laporan mengenai khabar angin berhubung cubaan beberapa Ahli Parlimen untuk mendapatkan akuan bersumpah (SD)bagi meraih jawatan dalam kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menyifatkan, cubaan beberapa individu yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka itu sebagai perkara jelek. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN