12 JUN: Malaysia tidak menghantar jemaah haji bagi tahun ini, menyaksikannya kali kedua diumumkan selepas negara mengambil keputusan sama pada 2020 akibat penularan COVID-19.
Keputusan itu selepas kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah berkenaan dihadkan untuk warganegaranya dan penduduk negara lain yang kini sudah berada di tanah suci.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerajaan Malaysia akur dengan keputusan Arab Saudi itu.
“Saya ingin menyatakan bahawa Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim haji 1442H, akur serta menghormati keputusan kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan warganegara Arab Saudi dan penduduk negara lain yang sudah berada dalam negara terbabit”, katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima panggilan telefon daripada Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat yang memaklumkan keputusan negara berkenaan berhubung pembabitan dan kuota jemaah haji daripada negara luar bagi tahun ini.
Jelasnya, kerajaan bagaimanapun akan memastikan segala urusan rakyat Malaysia yang kini berada di sana dan terpilih melaksanakan ibadah haji bagi musim 1442H diuruskan sebaiknya Lembaga Tabung Haji.
Perkara itu, katanya, selaras dengan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Beliau pada masa sama memohon maaf kepada rakyat Malaysia, terutama bakal jemaah haji yang mencintai dan merindui dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah berkenaan, malah mendoakan supaya COVID-19 segera berakhir supaya umat Islam dapat kembali menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Keputusan berkenaan sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan terbabit, malah saya menginsafi situasi sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian amat berat.
“Pun begitu, saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti COVID-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita,” katanya.