12 JUN: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan, pihaknya tidak mengamalkan dasar pilih kasih dalam membenarkan operasi perniagaan di sekitar ibu negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, sebaliknya keputusan itu tertakluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menerusi kenyataan dikeluarkan Unit Media DBKL, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata, menerusi arahan MKN, operasi pasar pagi terbuka adalah sama seperti pasar malam dan pasar tani yang tidak dibenarkan.
Katanya, ada beberapa aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi ketika PKP penuh di Kuala Lumpur, antaranya Pasar Borong, iaitu dari jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi dan 11 pagi sehingga 4 petang.
“Operasi aktiviti perniagaan lain yang dibenarkan adalah pusat penjaja (8 pagi sehingga 8 malam) dan pasar berbangunan atau berbumbung (6 pagi sehingga 2 petang) bagi jenis jualan membabitkan barangan keperluan harian sahaja.
“Selain itu, gerai tepi jalan, kios atau gerai berkunci, kendera saji (food truck), penjaja beredar, permit sementara, lesen waktu terhad dan lesen sementara KL Prihatin yang dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam bagi jenis jualan makanan sahaja, manakala tempoh urusniaga bazaria dihadkan dari jam 4 petang sehingga 8 malam,” katanya.
Kenyataan itu berkata, setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sehingga kini, DBKL sudah membuat pemantauan di lokasi terbabit dan sejumlah 22 notis kompaun dikeluarkan terhadap premis yang tidak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.
Kelmarin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa supaya membenarkan penjaja kecil berniaga di pasar pagi terbuka (PKP) penuh yang berkuat kuasa kini.
Beliau menyifatkan arahan DBKL yang melarang pasar pagi terbuka daripada beroperasi sebagai layanan dua darjat.
Kerajaan melaksanakan PKP penuh bermula 1 Jun lalu sehingga hari ini bagi mengawal penularan COVID-19 dan memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu yang semakin membimbangkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri menerusi kenyataannya, semalam mengumumkan pelaksanaan PKP penuh itu dilanjutkan sehingga 28 Jun ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN