PRN,PRK Tidak Boleh Dihalang Jika Darurat Ditamatkan-Takiyuddin
12 JUN: Sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa ditamatkan, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang merujuk kepada laporan kenyataan yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Takiyuddin berkata Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 dilaksanakan atas asas tanggungjawab utama dan khusus Kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat di dalam negara ini dapat terus dipelihara.
“Oleh yang demikian, persoalan mengenai sama ada Darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepertimana yang dibangkitkan tidak seharusnya timbul,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Justeru, Takiyuddin memaklumkan menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusanmengenai kedudukan tempoh Darurat.
Menurut beliau, ini selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar Kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan-tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 di kalangan rakyat di waktu getir ini dengan lebih efektif.
“Ia juga setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisma yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH