12 JUN: Biarpun terpaksa membuat persiapan dalam suasana norma baharu akibat COVID-19, termasuk tidak dapat mengikuti pembelajaran bersemuka bersama guru, dua pelajar Orang Asli dari Pahang, Juniza Ellyana Teo Sea Huang dan Rozainizam Azizian mencatatkan keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 apabila memperoleh 9A.
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata selain Juniza Ellyana dan Rozainizam yang masing-masing menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, Pahang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah, Pahang, seramai 91 murid Orang Asli mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan itu.
Jumlah itu katanya, membabitkan seramai lapan pelajar yang mencatatkan keputusan 8A, 10 (7A), 8 (6A), 31 (5A) dan 34 (4A).
“Keputusan ini membanggakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) selaku pihak bertanggungjawab dalam Pembangunan Modal Insan masyarakat Orang Asli, melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“SPM tahun 2020 yang diadakan dalam norma baharu akibat penularan COVID-19 menjejaskan persiapan murid untuk menghadapi peperiksaan ini, namun kita berbangga dengan pencapaian cemerlang ditunjukkan murid Orang Asli terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Abdul Rahman berkata, kejayaan murid Orang Asli itu adalah hasil kerja keras daripada semua pihak, iaitu pelajar, ibu bapa dan guru, selain JAKOA yang berganding bahu menyediakan pelbagai jenis bantuan serta program kecemerlangan pendidikan yang dapat mendorong pelajar terbabit untuk meraih kejayaan sama seperti masyarakat lain.
“KPLB sudah menyediakan peruntukan bagi membantu pendidikan pelajar Orang Asli ini melalui wang saku, pengangkutan, peralatan sekolah, pakaian sekolah dan berkaitan dengan harapan mereka lebih bersemangat untuk mengubah nasib masa depan melalui pendidikan.
“Di kesempatan ini, KPLB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjalin kerjasama erat dalam menentukan hala tuju pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.