13 JUN: Jabatan Kesihatan Kelantan akan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara di masjid, surau dan pondok selama lima hari bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata walaupun pemberian vaksin diadakan di institusi agama, ia tidak terhad kepada umat Islam.
Dr Zaini berkata pihaknya juga mendapat sokongan daripada penggawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menjalinkan kerjasama untuk mengumpul nama bagi proses pemberian vaksin, selain mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.
“Tujuan kerjasama ini adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat di Kelantan mendapat vaksin dan sekiranya PPV yang dibuka di pusat ibadat mendapat sambutan, kami akan melanjutkan tempoh masa.
“Dengan pembukaan PPV sementara ini, ia akan memudahkan lagi masyarakat setempat datang untuk mendapatkan suntikan vaksin, terutamanya bagi mereka yang terpaksa menghadiri janji temu di PPV komuniti agak jauh dari rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di PPV Sementara Bagi Daerah Kota Bharu dan Kubang Kerian di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, pihaknya melihat kesedaran masyarakat Kelantan terhadap suntikan vaksin semakin baik, malah ada ahli jawatankuasa masjid menawarkan untuk mengadakan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di masjid.
Katanya, setakat ini, seramai 140,000 atau 11 peratus rakyat Kelantan sudah menerima suntikan vaksin dos pertama dan berharap bekalan vaksin mencukupi.
“Kami juga merancang bersama dengan kerajaan negeri, ketua jajahan dan pegawai daerah bagi memastikan 70 hingga 80 peratus rakyat di Kelantan mendapat suntikan vaksin secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, bagi kawasan pedalaman, pihaknya akan memastikan penduduk mendapat suntikan vaksin sebelum bermula musim tengkujuh selewat-lewatnya September ini.
“Ini kerana cuaca ketika itu akan menyukarkan petugas kesihatan masuk ke kawasan pedalaman yang hanya boleh dilalui dengan pacuan empat roda,” katanya.