13 JUN: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) meminta kerajaan mempertimbangkan semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan golongan itu, terutama waktu operasi premis makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Setiausaha Agung GPPPKMM, Mohamed Zamri Mohammed, berkata sebelum PKP penuh dilaksanakan, pihaknya sudah mengemukakan masalah akan dihadapi penjaja dan peniaga kecil kepada kerajaan apabila arahan tidak membenarkan pelanggan makan di kedai dan waktu operasi dihadkan sehingga jam 8 malam itu dikuatkuasakan.
“Jadi apabila pihak kerajaan mengatakan keputusan ketat ini akan dilaksanakan kepada penjaja dan peniaga kecil bagi tempoh dua minggu awal PKP penuh dan SOP berkaitan perniagaan golongan terbabit bakal dikaji semula mengikut keadaan semasa, kita redha ketika itu bagi membantu mengurangkan penularan COVID-19.
“Sekarang PKP penuh ditambah dua minggu dan masih tetap dengan SOP sama, justeru wajar juga pihak berkaitan perniagaan ini serta kita sendiri mengemukakan semula permohonan melonggarkan arahan terbabit.
“Kita bukanlah mahu mendesak kerajaan, tetapi berharap permohonan untuk melonggarkan SOP dipertimbangkan, terutama memanjangkan waktu operasi peniagaan, memandangkan majoriti penjaja dan peniaga kecil adalah membabitkan makan serta minum,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC.
Susulan PKP penuh dilaksanakan kerajaan sejak 1 Jun lalu, waktu operasi perniagaan, termasuk membabitkan makanan dan minuman ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.
Arahan itu adalah bagi membendung penularan COVID-19 yang semakin meningkat dan membimbangkan di negara ini.
Persatuan Penguasaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), semalam merayu supaya kerajaan melanjutkan waktu operasi restoran dari jam 6 pagi hingga 10 malam ketika tempoh PKP penuh.
Rayuan dikemukakan Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan itu bagi membolehkan sektor perniagaan berkenaan kembali pulih akibat pandemik terbabit yang menyebabkan pendapatan harian penguasahanya merosot 80 peratus, selain dapat membantu pelanggan membuat pesanan dalam tempoh lebih panjang.
Mengulas lanjut, Mohamed Zamri berkata, GPPPKMM menyokong permintaan PRESMA kerana pihaknya sendiri ada menerima aduan daripada orang ramai apabila waktu membeli makanan dihadkan sehingga jam 8 kerana pesanan di premis ditawarkan setakat jam 7 malam.
“Had waktu ini menyebabkan pelanggan suntuk membuat pesanan kerana biasanya selepas jam 7 malam baru mereka makan malam.
“Kita harap kerajaan akan ‘merombak’ semula SOP sektor ekonomi untuk perniagaan ini dan kita faham dengan keputusan pelanggan masih tidak dibenarkan duduk makan di kedai itu dalam situasi jumlah kes masih tinggi, tetapi mungkin pelanjutan masa boleh diberikan,” katanya.
Mohamed Zamri berkata, walaupun majoriti penjaja dan peniaga kecil tidak mempunyai komitmen tinggi, terdapat lebih 20 peratus penggiat perniagaan ini memiliki pelbagai kos tetap yang perlu ditanggung, termasuk sewa kedai, gaji penuh pekerja dan sebagainya.
“Justeru apabila waktu operasi perniagaan dipendekkan dan pelanggan tidak dibenarkan makan di premis, mereka tidak memperoleh pulangan mencukupi untuk menampung segala kos,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN