13 JUN: PAS mendesak pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan menghina agama sehingga menimbulkan kekecohan, rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam kalangan umat Islam di negara ini
Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata PAS memandang serius perbuatan menghina agama Islam yang masih berterusan berlaku biarpun pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kes serupa sebelum ini.
Berikutan itu berkata PAS menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Kelmarin media melaporkan, polis menerima laporan daripada seorang penghantar makanan berusia 19 tahun yang tidak berpuas hati dengan seorang pelanggan didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.
Pengadu membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan itu dan menularkannya ke aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan itu.
Keadaan ini menimbulkan kemarahan sekumpulan penghantar makanan lain yang seterusnya pergi ke rumah pelanggan berkenaan dan berlaku pergaduhan.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada tabung kilat yang diwujudkan bagi membantu lima orang penghantar makanan yang telah direman oleh pihak polis dan mereka disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Aminuddin berkata mereka direman adalah berhubung dengan kes seorang warganegara yang telah menghina nama Allah di dalam pesanan makanan yang dibuat dan kemudiannya ditegur oleh seorang penghantar makanan.
“PEMBELA akan memberi kerjasama penuh kepada pihak PDRM sekiranya ingin menyiasat perkara ini memandangkan PEMBELA tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin disembunyikan.
“Kita akan bersikap telus dengan semua pihak termasuk pihak polis yang telah mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menjalankan siasatan. PEMBELA juga akan memaklumkan kepada rakyat akan perkembangan bantuan ini dari masa ke masa bagi menjamin ketelusan dan integriti kami,” katanya dalam satu kenyataan.