13 JUN: Lembaga Tabung Haji (TH) menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H berikutan keputusan Arab Saudi tidak membenarkan jemaah dari luar negara berkenaan menunaikan Rukun Islam kelima itu pada tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata tindakan itu selaras keputusan muktamad Kerajaan Arab Saudi yang menetapkan tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia, akan dibenarkan ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadat berkenaan pada tahun ini, atas faktor keselamatan dan kesihatan.
Amrin berkata walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji hingga ke saat akhir, namun mereka tetap menerima keputusan dibuat Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.
“Keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia, tahun ini, jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Arab Saudi mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia susulan penularan wabak COVID-19.
“TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan sangat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Media semalam melaporkan Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H dihadkan hanya untuk warganegaranya dan warganegara lain yang sudah berada dalam negara itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dipetik berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdelfattah Sulaiman Mashat, berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.
Mengulas lanjut, Amrin memaklumkan, penggiliran jemaah untuk musim haji tahun depan akan memberi keutamaan kepada bakal haji tahun lalu.
“Bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran mereka pada 2020 dan telah diberi keutamaan untuk menunaikan haji pada 2021, mereka sekarang akan diberikan keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada 2022.
“Bagi bakal haji yang gilirannya adalah pada tahun ini pula, mereka akan turut diberi peluang pada 2022, tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap umat Islam lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji serta badal haji bagi tahun ini.
“TH memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan.
“Salah satu syarat wajib haji ialah berkemampuan atau istito’ah untuk pergi menunaikan haji.
“Antara ciri istito’ah ialah dari segi kesihatan, kemampuan kewangan, keamanan dalam perjalanan, pengangkutan yang selamat dan kebenaran kuota haji,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) melalui 03-62071919.