14 JUN: Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman mendapat pujian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mencipta sensasi di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol apabila muncul juara perlumbaan CEV Moto3 Remaja Dunia, semalam.
Menerusi hantaran terbaru di Facebook rasminya, Muhyiddin menyatakan kejayaan pelumba tersebut menjadi juara dalam perlumbaan sukan permotoran antarabangsa yang terkenal itu amat membanggakan negara.
“Syabas Anak Muda…Tahniah Malaysia. Sudah pasti hanya keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian sahaja yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.
“Tahniah Syarifuddin dan seluruh ahli pasukan atas aksi dan kejayaan yang membanggakan negara ini.
“Teruskan usaha untuk kejayaan yang lebih gemilang selepas ini. Tahniah Damok, #MalaysiaPastiBoleh,”katanya.
Terdahulu, biarpun pada awalnya Syarifuddin bermula di petak ke-10, pelumba SIC Racing itu tetap tenang memperagakan tunggangan terbaiknya sepanjang perlumbaan.
Dalam baki enam pusingan, Syarifuddin mula mengatur strategi sehingga berjaya memberi tekanan kepada barisan pelumba di kelompok hadapan yang diketuai Mario Suryo Aji dari Indonesia.
Akibat kesilapan yang dilakukan Mario dan pelumba Carodoso Racing, David Munoz pada pusingan terakhir, Syarifuddin berjaya memimpin perlumbaan sekali gus muncul juara.
Selepas mengharungi empat pusingan perlumbaan CEV Moto3 Remaja Dunia, pelumba kelahiran Selangor berusia 20 tahun itu kini menduduki tangga keenam dengan merekodkan 31 mata. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH