14 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2020 akan diumumkan pada 17 Jun ini mulai jam 10 pagi.
KPM menerusi kenyataan memaklumkan calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.
“Semakan juga boleh dibuat menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) bagi mendapatkan ringkasan keputusan dengan menaip ‘STAM<jarak>No Kad Pengenalan<Jarak>AngkaGiliran’ dan hantar ke 68886.
“Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 17 Jun 2021 sehingga jam 6 petang pada 23 Jun 2021,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, KPM memaklumkan bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.
“Buat calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet pula, pihak jabatan pendidikan negeri atau pejabat pendidikan daerah akan mengenal pasti calon persendirian tersebut dan akan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan,” katanya.
Seramai 7,277 calon menduduki peperiksaan bertulis STAM 2020 bermula Mac hingga April lalu di 236 pusat peperiksaan seluruh negara.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH