14 JUN: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesahkan kadar laporan mengesan sampingan (advers) akibat suntikan vaksin COVID-19 di Malaysia adalah amat rendah dan tidak membimbangkan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata secara puratanya NPRA menerima kira-kira 2.4 laporan kesan advers selepas imunisasi (Adverse Event Following Immunization, Aefi) bagi setiap 1,000 dos vaksin COVID-19 yang disuntik kepada penduduk di negara ini.
Beliau berkata daripada laporan berkenaan hanya 0.09 bagi setiap 1,000 dos yang disuntik diklasifikasikan sebagai kes Aefi serius yang memerlukan rawatan susulan atau rawatan di hospital..
“Data daripada sistem pemantauan Aefi dalam aplikasi MySejahtera menunjukkan setakat 12 Jun, aplikasi itu menerima 29.3 laporan Aefi biasa atau minor bagi setiap 1,000 dos yang disuntik.
“Kesan sampingan yang dilaporkan adalah rasa sakit di kawasan suntikan, sakit kepala, keletihan dan sebagainya, yang merupakan kesan sampingan biasa setelah menerima vaksin,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin menerusi aplikasi Zoom, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Adham berkata kebanyakan kes Aefi yang memerlukan rawatan lanjut atau rawatan di hospital hanya ditempatkan di wad untuk jangka masa pendek dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan pemantauan sewajarnya.
Dalam pada itu, Adham mengesahkan kerajaan sudah mewujudkan tiga jawatankuasa khas bagi menilai jumlah pampasan akan diberikan kepada individu mengalami kesan sampingan serius selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin dengan dana permulaan RM10 juta bagi tujuan pampasan untuk individu yang mungkin mengalami kesan sampingan selepas imunisasi.
Berikutan itu penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan serius sehingga terpaksa dirawat di hospital boleh mendapat sehingga RM50,000, manakala mereka yang mengalami kecacatan kekal atau kematian pula boleh mendapat RM500,000 menerusi dana diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).