14 JUN: Malaysia dijangka menerima 1,333,800 dos lagi bekalan vaksin Pfizer-BioNTech untuk diagihkan pada minggu ini hingga awal bulan depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata bekalan berkenaan merangkumi 444,600 dos atau 33.33 peratus akan diagihkan pada Rabu hingga 18 Jun ini.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata dua lagi penghantaran dengan jumlah dos vaksin sama dijadual diagihkan antara 23 hingga 25 Jun dan 30 Jun hingga 2 Julai depan.
“Mengikut data setakat semalam, pendaftaran bagi fasa kedua PICK telah mencapai 4,531,790 individu. Seramai 2,458,432 yang direkodkan ialah kumpulan warga emas.
“Hingga 18 Jun depan, jumlah penerima vaksin yang mendapat serta dijadualkan janji temu daripada fasa kedua ialah 2,437,168 individu.
“Bilangan warga emas yang menerima vaksin pula ialah 1,231,177 orang. Kadar keseluruhan vaksinasi negara terus meningkat dan tidak banyak menurun pada hujung minggu lalu di mana ia masih mencatatkan rekod 100,000 dos ke atas dalam tempoh sehari.
“Purata vaksin diberi bagi tempoh antara 7 hingga 13 Jun lalu ialah 130,842 dos sehari, iaitu meningkat 94,481 dos sehari berbanding minggu sebelumnya,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri Kesihatan Dr Ahmad Baba menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata mengikut perangkaan 5,955,092 dos vaksin diedarkan ke seluruh negara dengan 61 peratus atau 3,632,850 dos daripadanya ialah Pfizer keluaran syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), manakala 1,674,142 dos ialah Coronavac atau Sinovac, dan vaksin AstraZeneca ialah 648,100 dos.
Beliau berkata lima negeri tertinggi dalam pengedaran vaksin ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya membabitkan 902,690 dos atau 15.15 peratus daripada keseluruhan pengagihan, Selangor (898,230), Sarawak (697,736), Johor (547,280) dan Sabah (503,590),” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan menghantar 30,000 dos vaksin COVID-19 ke Labuan berikutan situasi terkini berlaku di wilayah terbabit.
“Sehingga hari ini JKJAV melaporkan seramai 17,395 individu menerima dos pertama, manakala 13,295 lagi telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.
“Bagaimanapun, sekarang ini, kita sedang melihat kapasiti pemberian vaksin di Labuan untuk memastikan bahawa penghantaran 30,000 dos ini dapat disuntik secepat mungkin,” katanya.