14 JUN: Kerajaan digesa untuk mencari pakar serta sumber-sumber tempatan bagi menangani isu bekalan serta keberkesanan vaksin jangka panjang melalui penubuhan pusat penyelidikan vaksin nasional.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan telah melakukan usaha yang baik dengan penubuhan pelbagai pusat vaksinasi sama ada dalam bentuk mega dan unit bergerak selain membabitkan klinik serta hospital swasta.
Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu dilihat dapat membantu usaha itu selain turut menggerakkan kor perubatan angkatan tentera untuk membantu dalam memerangi pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun, ketika kita merancang infrastruktur logistik dan pusat vaksin, perlu ada strategi menyeluruh bagi bekalan vaksin.
“Berdasarkan situasi itu dan matlamat untuk menjaga kesihatan serta keselamatan rakyat daripada COVID-19 dan pandemik serupa pada masa akan datang, adalah penting.
“Justeru, adalah penting buat kerajaan untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan vaksin nasional berasaskan kepakaran dan sumber tempatan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Hussain turut mencadangkan Malaysia perlu menubuhkan pusat penyelidikan vaksin khusus untuk melihat prospek jangka panjang dalam menghasilkan vaksin Malaysia sendiri.
“Malaysia memiliki kemudahan akademik serta penyelidikan saintifik dan pakar tempatan kita juga telah diiktiraf di peringkat global.
“Ini kerana kejayaan Malaysia menghasilkan vaksin bagi virus Nipah selain menangani SARS, H1N1 dan lain-lain sebelum ini,” katanya.