14 JUN: Semua Surat Kebenaran Beroperasi yang dikeluarkan bagi sektor yang dibenarkan beroperasi di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, masih diterima pakai sehingga 28 Jun ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, turut diterima pakai Surat Kebenaran beroperasi dikeluarkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Selain itu, beliau menegaskan surat kebenaran itu turut terpakai bagi badan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).
“KeTSA komited dalam membantu usaha kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
“Saya meminta kerjasama semua pihak supaya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa dalam membendung penularan wabak COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, sebarang pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan kepada talian hotline 03–88861665 / 019–6696842 atau e-mel ke alamat aduanketsa@ketsa.gov.my. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH