15 JUN: Jumlah kes kematian COVID-19 kembali ke tiga angka hari ini dengan 101 kematian sekali gus melebihi angka 4,000 kematian setakat ini.
Kali terakhir jumlah tertinggi direkodkan adalah pada 2 Jun lalu iaitu sebanyak 125 kes sekali gus merekodkan jumlah tertinggi sejak penularan virus itu di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan 98 rakyat tempatan dan tiga warga asing menjadikan jumlah kumulatif kematian berjumlah 4,069 atau 0.61 peratus daripada keseluruhan kes.
“Daripada 101 kes kematian hari ini, 50 kes daripadanya direkodkan di Selangor, 11 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 10 kes di Johor, lapan kes di Negeri Sembilan, dan empat kes di Wilayah Persekutuan Labuan,
“Selain itu, kematian kes COVID-19 hari ini turut dicatatkan masing-masing tigakes di Sabah, Pahang, Kedah, dan Kelantan, dua kes di Sarawak, serta masing-masing satu kes di Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, dan Perak,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu COVID-19 hari ini turut mencatatkan peningkatan iaitu 5,419 dan daripada jumlah itu, 5,413 kes daripada adalah kes tempatan manakala enam merupakan kes import.
“Kes sembuh hari ini juga turut mencatatkan penurunan iaitu 6,831 kes berbanding semalam iaitu 6,588 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 593,695 kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 922 orang termasuk dan 450 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 70,122 atau bersamaan 10.50 peratus,” katanya
Sementara itu Noor Hisham berkata, kluster baharu hari ini juga turut mencatatkan peningkatan iaitu 19 kluster, di mana 14 daripadanya adalah kluster berkaitan kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan satu lagi merupakan kluster baharu kumpulan berisiko tinggi.
Beliau memberitahu, bagi kluster tempat kerja, enam daripadanya direkodkan di Selangor iaitu di Industri Balakong Baru 11, Idustri Pulau Meranti, Industri Jalan Berangan, Industri Meranti Jaya 13, Industri Jalan Serendah dan Industri Perusahaan Dua Bangi.
“Selain itu, ia turut dicatatkan dua kluster baharu tempat kerja di Johor iaitu di Jalan Keluli Lama dan Kasap serta dua juga direkod di Sarawak iaitu di Dulang dan Jalan Daya
“Manakala selebihnya dicatatkan di Tingkat Perusahaan, Pulau Pinang; Industri Teknologi Cheng, Melaka; Tapak Bina Wangsa Kuarza, Kuala Lumpur dan Dah Industri Arang Tempat di Kedah.
“Bagi kluster komuniti, tiga daripadanya dicatatkan di Sarawak iaitu di Nanga Sejugam, Nanga Strass dan Kampung Kolong manakala selebihnya di Desa Rejang, Kuala Lumpur. Kluster berisiko tinggi hanya mencatatkan satu kluster baharu iaitu Jalan Mesra di Kuala Lumpur,”katanya.
Noor Hisham menambah, jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 2, 513 dan sebanyak 1,735 kluster telah ditamatkan di samping hanya 778 kluster yang masih aktif. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH