15 JUN: Penganalisis ekonomi berpandangan bahawa Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan hari ini akan merancakkan lagi pemulihan ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun 2021.
Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga memberikan panduan kepada peniaga, pelabur dan orang awam untuk meletakkan harapan yang realistik berdasarkan situasi semasa.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata maklumat berkenaan penting bagi membolehkan peniaga, pelabur dan rakyat membuat perancangan masa depan masing-masing.
“Secara umumnya, Perdana Menteri cuba menerangkan proses yang bakal berlaku sejajar dengan unjuran bahawa kes jangkitan bakal menurun.
“Perkara ini seharusnya dapat memberi sedikit panduan serta bagaimana peniaga, pelabur dan juga orang awam harus meletakkan pengharapan yang realistik berdasarkan situasi semasa.
“Justeru, dengan maklumat ini, dapatlah kita membuat perancangan tentang bagaimana kita harus bertindak. Umumnya fasa keempat adalah fasa yang membolehkan pergerakan rentas negeri dibenarkan dan banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri sebentar tadi.
Berikutan itu, Afzanizam berkata beliau menjangkakan proses pemulihan ekonomi akan lebih rancak pada suku keempat tahun ini.
Namun, Afzanizam berkata perkara itu tertakluk kepada indikator ambang seperti kes jangkitan baharu yang kurang 500 serta 60 peratus daripada rakyat negara kita telah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Oleh itu, kita harus bersama-sama memastikan indikator ambang ini akan dapat dicapai supaya ekonomi negara dapat dibuka sepenuhnya,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Next Post