15 JUN: Sebanyak RM2 juta diperuntukkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi membantu golongan yang terkesan akibat COVID-19, terutama B40.
Menurut Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, golongan itu terdiri daripada individu dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji, dikurangkan pendapatan sehingga 50 peratus atau hilang punca pendapatan.
Beliau berkata, MAIS sudah mengagihkan sumbangan kepada 15,418 penerima dengan nilai bantuan RM1.514 juta daripada 20,000 keluarga membabitkan RM2 juta yang disasarkan.
“Peruntukan ini diagihkan menerusi dana fidyah MAIS, sejak Program Sumbangan Agihan Fidyah MAIS ini dilancarkan pada 28 Disember 2020.
“Sumbangan ini diberikan dalam bentuk pek makanan dan usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid serta surau di daerah terbabit,” katanya.
Ahmad Shahir berkata, RSAFM memainkan peranan dengan membantu mengemas kini dan mengesahkan maklumat diperlukan serta menolong pengagihan fidyah MAIS.
Katanya, MAIS berharap supaya sumbangan diterima itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban ditanggung golongan berkenaan.
”MAIS mengajak semua umat Islam di Selangor yang terkesan COVID-19 dan memerlukan bekalan makanan asasi, menyertai Program Sumbangan Agihan Fidyah MAIS dengan menghubungi mana-mana Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS,” katanya.
Sebarang permasalahan dan kemusykilan berhubung permohonan bantuan agihan fidyah MAIS, boleh dirujuk kepada pegawai urusetia Agihan Fidyah MAIS (AFM), iaitu Ustazah Hafizatul Akmal Abd Jalil menerusi talian 019-264 6277 atau Amirah Addilah Mohd Johari (017-327 2069),” katanya