15 JUN: Hanya kerana pelitup muka, seorang juruwang maut dalam kejadian tembakan di sebuah kedai runcit di Georgia, Amerika Syarikat (AS), semalam selepas berlaku pertengkaran antaranya dengan seorang pelanggan yang tidak memakai perlindungan diri itu.
Kejadian itu turut menyebabkan dua individu, termasuk seorang anggota polis cedera.
Menurut kenyataan Biro Penyiasatan Georgia (GBI) seperti dilaporkan ABC News, pelanggan terbabit, Victor Lee Tucker, 30 tahun, mengunjungi kedai itu tanpa memakai pelitup muka.
“Dia kemudian terbabit dalam satu pertengkaran dengan juruwang di kedai itu sebelum meninggalkan premis.
“Tucker meninggalkan premis berkenaan tanpa membeli apa-apa, namun dia kembali bersama sepucuk pistol dan terus menembak juruwang terbabit,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, seorang anggotanya yang tidak bertugas secara kebetulan berada di dalam kedai runcit berkenaan dan terus melepaskan tembakan ke arah Tucker.
Tucker kemudian membalas tembakan itu dan terkena anggota polis terbabit dan seorang lagi juruwang yang menyebabkan mereka tercedera.
Mangsa pertama tembakan terbabit disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Grady Memorial, manakala anggota polis dan seorang lagi juruwang itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Georgia untuk tindakan susulan.