15 JUN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 secara penuh telah menunjukkan kesan positif apabila kadar kes jangkitan harian COVID-19 didapati semakin menurun.
Namun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohammed Azmin Ali berkata, dari segi ekonomi dapat lihat ramai pihak telah terkesan, khususnya buat golongan B40 yang kebanyakan daripada mereka merupakan peniaga kecil.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan persekutuan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai langkah untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19.
“Ia selari dengan dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, bahawa pelan tersebut akan dibuat berdasarkan kepada data dan sains yang dibentangkan dalam tempoh masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak memaklumkan pelan itu turut merangkumi adalah dari segi pengurusan COVID-19, ekonomi serta program vaksinasi yang sedang giat berjalan sehingga kini.
“Ia akan diperluaskan lagi dengan skala besar apabila adanya inisiatif seperti Trak Vaksin Bergerak dan pembinaan Pusat Pembinaan Vaksin (PPV) baharu.
“Inisiatif tersebut akan membolehkan pemberian suntikan dos vaksin COVID-19 sehingga 200,000 sehari menjelang Julai ini.
“Saya menyeru semua pihak agar dapat memberikan kerjasama untuk kita sama-sama mencapai Imuniti Kelompok atau ‘Herd Immunity’ di seluruh negara menjelang akhir tahun ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH