15 JUN: Semua ahli wakil rakyat blok pembangkang mahu penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menyanjung tinggi komitmen dan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa Parlimen akan kembali bersidang seawal September ini.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata tindakan itu perlu selepas Perdana Menteri hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan Parlimen dibenarkan bersidang semula sekitar bulan September atau Oktober depan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Zainal berkata beliau menghormati pendirian Muhyiddin bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai apabila kes COVID-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok.
Beliau berkata pengumuman pembukaan semula Parlimen oleh Perdana Menteri berkenaan memang amat ditunggu bukan hanya oleh ahli Parlimen, malah seluruh rakyat Malaysia selama ini.
“Saya berpandangan tindakan kerajaan meletakkan syarat seperti jumlah kes COVID-19 menurun sehingga bawah 1,000 hingga 500 kes sehari, bilangan kes ICU sudah berkurangan dan kadar vaksinasi mencapai sekurang-kurang 60 peratus populasi rakyat Malaysia sebelum Parlimen kembali dibuka adalah tepat.
“Ini mencerminkan kerajaan mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan dan kesihatan semua ahli wakil rakyat sebelum Parlimen dibenarkan kembali bersidang, manakala sistem ekonomi pun semakin pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Zainal tetap meragui dan melahirkan kebimbangan sama ada wakil rakyat berkenaan akan memainkan peranan masing-masing secara lebih efektif apabila Parlimen dibenarkan bersidang nanti atau sekadar mahu memenuhi ‘nafsu’ bermain politik semata-mata, mahu mengacau atau menggugat kerajaan PN dianggap sebagai minoriti semata-mata.
“Saya berharap semua ahli Parlimen sama ada pro kerajaan PN atau pembangkang dapat menjadi wakil rakyat yang kontraktif dengan membantu kerajaan membina semua ekonomi, sistem kesihatan dan keupayaan Malaysia ke arah lebih maju.
“Justeru, saya berharap apabila Parlimen bersidang pada bila-bila masa dari sekarang semua wakil rakyat akan mempunyai rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara bukan sekadar mahu bermain politik, sibuk berebut kekuasaan atau mencapai cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, Zainal berkata jika ahli Parlimen mahu menjadikan sidang Dewan Rakyat kelak sekadar tempat berpolitik, berebut kuasa dan mencapai cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri maka tiada guna Dewan Rakyat kembali bersidang.
Beliau berkata semua ahli Parlimen sama ada pro kerajaan PN dan pembangkang juga perlu menunjukkan komitmen mereka dengan membangkitkan pelbagai isu dan masalah dihadapi oleh rakyat bukan sekadar menunjuk muka kemudian hilang tanpa dikesan menyebabkan Dewan Rakyat kelihatan kosong sewaktu bersidang.
“Mereka perlu menjadi ahli Parlimen bertanggungjawab dan menyuarakan keperluan dan kehendak rakyat demi kesejahteraan bersama. Jika ada lagi wakil rakyat yang hanya hadir ke sidang Parlimen sekadar memenuhi syarat baiklah bila ada pilihan raya nanti kita tukar saja wakil rakyat berkenaan.
“Ahli Parlimen juga perlu memainkan peranan lebih efektif bagi memastikan rakyat di kawasan masing-masing mendaftarkan diri untuk menjadi penerima suntikan vaksin COVID-19 bagi memastikan negara mencapai kadar imunisasi kelompok dengan lebih 80 peratus populasi penduduk Malaysia divaksinkan, secepat mungkin,” katanya.