15 JUN: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyangkal khabar angin Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan mengejut dengan semua menteri UMNO hari ini.
Zahidi Zainul berkata beliau tidak mengetahui sebarang tentatif mesyuarat ‘tergempar’ yang dikatakan akan diadakan pertemuan tersebut pada jam 2.30 petang di bangunan Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan beliau tidak menerima sebarang surat jemputan menghadiri mesyuarat ‘tergempar’ berkenaan.
“Tidak benar menteri-menteri UMNO ada memohon untuk mengadakan mesyuarat luar biasa dengan Ahmad Zahid sebelum ini.
“Tiada (pertemuan berlaku)…tidak tahu pun (dakwaan pertemuan menteri UMNO dan Ahmad Zahid).
“Terima surat jemputan? Belum lagi kot. Tiada saya dengar ada menteri jadi wakil untuk jumpa Presiden (sebelum ini),” katanya ringkas kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sebuah portal yang melaporkan kononnya menteri UMNO akan mengadakan mesyuarat bersama Ahmad Zahid di Menara Dato’ Onn petang tadi.
Portal itu mendakwa, mesyuarat dikatakan diatur secara mengejut oleh Menteri Kanan Keselamatan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Terdahulu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan turut menafikan khabar angin kononnya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adakan pertemuan mengejut dengan semua Menteri UMNO hari ini.
Mohd Somali berkata tiada sebarang mesyuarat diadakan membabitkan Ahmad Zahid bersama menteri dari UMNO, hari ini.
Berikutan itu Somali berkata, semua dakwaan berkenaan mesyuarat hanyalah khabar angin.