15 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di enam daerah, iaitu masing-masing satu daerah di Sarawak dan lima daerah di Sabah selama 14 hari, bermula lusa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu dikenakan selepas kerajaan membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, PKPD itu bagi menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 di kawasan berisiko keluar dari lokaliti terbabit.
“PKPD di Sarawak dikenakan di dua perkampungan di Kuching, iaitu Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas selepas sebanyak 24 kes positif direkodkan di Kampung Goebilt daripada 264 ujian saringan dijalankan KKM, manakala di Kampung Muara Tebas, sebanyak 22 kes positif direkodkan selepas 50 individu disaring,” katanya.
Ismail Sabri berkata, PKPD turut dikenakan di dua lokaliti di Kalabakan, Sabah, iaitu di Kampung Rancangan apabila 11 kes positif dilaporkan daripada 40 ujian saringan dijalankan KKM dan Kampung Kijang Merotai, selepas didapati sebanyak lapan kes positif direkodkan daripada 11 ujian saringan dijalankan di situ.
“Daerah lain dikenakan PKPD di Sabah adalah Tawau, membabitkan dua lokaliti, iaitu Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah.
“Sehingga kini, KKM menjalankan 21 ujian saringan di Kampung Tanjung Batu Tengah dan 15 daripadanya dikesan positif, manakala di Taman Semarak Megah 16 daripada 19 ujian saringan dijalankan dilaporkan positif,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di Sabah turut membabitkan dua lokaliti di daerah Kota Kinabalu, iaitu Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil apabila 21 ujian saringan dijalankan di Kampung Rampayan serta 36 ujian saringan di Kampung Kionsom, masing-masing merekodkan 10 dan 12 kes positif.
“Pada masa sama, PKPD di Sabah dikenakan di Kampung Taun Gusi Peninting di Kota Belud apabila sehingga kini, sebanyak 10 saringan yang dijalankan KKM mendapati lapan daripadanya dikesan positif, malah kes mula menular dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti terbabit.
“Satu lagi daerah dikenakan PKPD di Sabah adalah Kudat membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan selepas daripada 41 ujian saringan dijalankan KKM di situ, didapati lapan daripadanya positif, malah kes mula menular dengan kadar kebolehjangkitan tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Simpangan, Tuaran, Sabah yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan sehingga 30 Jun.
“Arahan ini dikenakan selepas 438 ujian saringan dijalankan KKM mendapati 24 daripadanya positif dan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk, selain kes baharu direkodkan di lokaliti itu,” katanya.