15 JUN: Raya Airways Sdn Bhd (Raya Airways) mencatat sejarah apabila menjadi penyedia perkhidmatan kargo pertama di Malaysia beroperasi di Nanning, China.
Syarikat itu akan beroperasi empat kali seminggu dengan purata muatan mingguan sebanyak 30 tan dan kapasiti maksimum sehingga 40 tan menggunakan pesawat Boeing 767-200F.
Pencapaian ini adalah seiring dengan rancangan pengembangan rangkaian kami untuk meningkatkan destinasi dalam pasaran Asia Pasifik.
“Laluan ini akan membawa semua penghantaran khusus Raya Airways, seperti produk e-dagang rentas sempadan dan barangan pengguna, termasuk barangan mudah rosak,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Mohamad Najib Ishak, berkata perluasan laluan itu tepat pada masanya dan akan menyokong peningkatan permintaan perkhidmatan kargo, di samping memberi peluang untuk mewujudkan dan menyediakan rangkaian logistik lancar dipacu oleh perkhidmatan cekap.
“Kami berharap dapat memperkenalkan lebih banyak laluan baharu pada bulan-bulan yang seterusnya memandangkan kami sedang meningkatkan rangkaian destinasi yang saling berkaitan bagi menyokong perniagaan ketika pandemik ini,” katanya.
Syarikat penerbangan itu turut menyasarkan untuk mengembangkan rangkaiannya kepada lebih banyak destinasi dalam lingkungan Asia Pasifik, termasuk di China dan negara lain akhir tahun ini.
Raya Airways menghubungkan dan mengendalikan perkhidmatan kargo udara berjadual ke hab utama serantau seperti China, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Hong Kong, serta Sabah/Sarawak – Kota Kinabalu, Kuching dan Labuan.