15 JUN: Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini merupakan strategi untuk negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19 yang telah menunjukkan penurunan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.
Justeru, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik pelan diumumkan Perdana Menteri yang mempunyai empat fasa bagi memastikan rakyat dapat menikmati kembali kehidupan secara normal.
Beliau yakin peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung bulan Julai ini akan membantu menjayakan Pelan Pemulihan Negara.
“Kadar pemberian vaksin setiap hari turut memberi keyakinan terhadap kejayaan pelan berkenaan.
“Parlimen pula dijangka boleh bersidang pada fasa ketiga dengan kawalan SOP yang ketat.
“Semoga usaha ini dapat mengurangkan jangkitan wabak COVID-19 serta meringankan beban rakyat yang terjejas dari sudut ekonomi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, menerusi sidang media khas hari ini mengesahkan kerajaan telah merangka pelan itu dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat.
Beliau berkata, pelan tersebut mempunyai empat fasa dengan tiga petunjuk atau ‘Tiga Indikator Ambang Utama’ di mana indikator pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.
Kedua, kata beliau, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) manakala ketiga pula adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pelan berkenaan adalah satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa ataupun back to normalcy.