15 JUN: Walaupun pemakaian pelitup muka diwajibkan sejak Ogos tahun lalu sebagai usaha membendung penularan jangkitan COVID-19, masih ramai dikesan tidak mengenakan pelindung diri itu apabila seramai 196 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) terbabit, semalam.
Perbuatan itu turut direkodkan sebagai antara kesalahan tertinggi setiap hari sejak awal tahun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 819 individu dikompaun, manakala 35 direman.
“Kesalahan lain semalam adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan di premis, iaitu sebanyak 173 individu, diikuti gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (145), tiada penjarakan fizikal (98), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (83) dan membawa penumpang berlebihan (65).
“Selain itu, aktiviti pusat hiburan (32), premis gagal patuhi arahan (8) dan lain-lain (54),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN