15 JUN: Universiti Malaya (UM) sedang meneliti dakwaan seorang pelajar jurusan perubatan dihalang menduduki peperiksaan kerana belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
Menerusi kenyataannya hari ini, UM berkata, pihak pengurusan universiti awam (UA) itu memandang serius dakwaan dan laporan polis dibuat pelajar terbabit dan sedang menelitinya secara terperinci.
Katanya, pihak universiti bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak yang terbabit demi menyelesaikan perkara itu.
“UM bukan sahaja tempat melanjutkan pengajian tinggi, malah menjadi nadi kepada pelbagai aktiviti membabitkan orang ramai, seperti rawatan perubatan, keagamaan, kebudayaan dan sukan.
“Justeru, pihak universiti mengambil semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi memastikan risiko penyebaran jangkitan COVID-19 di dalam kampusnya dapat dikawal,” katanya.
Menurut kenyataan itu, menjadi tanggungjawab UM menyediakan kampus kondusif dan selamat kepada warganya dalam berdepan pandemik ini.
“Komitmen UM bagi memerangi COVID-19 juga dapat dilihat melalui sumbangan pakar perubatan dan saintifik dalam pelbagai aspek.
“Ini termasuk peranan Pusat Perubatan UM sebagai pusat rawatan pesakit COVID-19 dan UM sebagai Pusat Pemberian Vaksin COVID-19,” katanya.
Susulan itu, katanya, warga kampus seharusnya perlu memikul tanggungjawab terbabit bersama demi memastikan bukan sahaja diri sendiri dapat dilindungi, malah keluarga dan orang ramai turut selamat.
Semalam, seorang pelajar perubatan universiti terbabit mendakwa dilarang menduduki peperiksaan kelayakan kerana belum menerima suntikan vaksin COVID-19.
Pelajar berusia 22 tahun itu dilaporkan berkata sudah memaklumkan kepada pihak universiti mengenai pendiriannya tidak mahu divaksin, tetapi tetap didesak mengambil imunisasi berkenaan.
Atas desakan terbabit, pelajar itu dikatakan bersetuju dan membuat pendaftaran vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum memaklumkan kepada pihak universiti pada April lalu.
Namun, pelajar itu mendakwa belum menerima tarikh temu janji pengambilan vaksin sehingga tarikh peperiksaan, iaitu pada 8 Jun lalu dan pihak universiti melarang dia mendudukinya serta diarah meninggalkan dewan, malah permohonan untuk mengambilnya secara berasingan, turut ditolak.
Dia kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.