16 JUN: Dakwaan seorang lelaki yang dipukul dan dikasari semasa hadir ke ibu pejabat Polis Daerah Serdang untuk rakaman percakapan bersabit satu laporan yang dibuat isterinya berkaitan keganasan rumah tangga, minggu lepas adalah tidak benar sama sekali.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang kini pihaknya sedang melaksanakan siasatan teliti dakwaan yang dinyatakan oleh suspek tersebut.
Beliau memaklumkan pada hari kejadian lelaki berkenaan datang ke Ibu Pejabat Daerah Serdang untuk rakaman percakapan bersabit satu laporan polis berkaitan kes keganasan rumah tangga terserempak dengan isterinya semasa berada di balai dan telah bertindak agresif dan mengugut akan membunuh isterinya itu.
“Polis telah menasihatkan lelaki itu agar jangan membuat bising di kawasan balai polis, namun dia tidak mengendahkan nasihat yang diberikan dan telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis iaitu ‘polis bodoh’.
“Semasa proses tangkapan terhadap suspek, telah berlaku pergelutan dan pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan paling minimum.
“Suspek telah ditangkap di bawah Seksyen 90 akta Polis 1967, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Arjunaidi berkata, suspek didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau meliputi pelbagai kesalahan jenayah termasuk kekerasan serta narkotik dan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methapethamine.
Beliau berkata, suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 11 Jun lepas mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 di samping menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Suspek tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan jamin mahkamah dan sejurus dibebaskan, pada hari yang sama lelaki itu telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara.
“Suspek mengatakan telah dipukul dan dikasari oleh pihak polis semasa hadir memberi keterangan bersabit kes keganasan rumah tangga,” katanya.
Justeru, Arjunaidi memaklumkan, satu Kertas Siasatan Enkuiri Polis (KEP) telah dibuka bagi menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah mengambil alih siasatan KEP ini.
Pada Selasa, sebuah portal berita melaporkan seorang bekas pengurus bengkel, Joseph Prakash Sukumaran mendakwa dia dipukul dan dikasari semasa berada di ibu pejabat polis berkenaan.