16 JUN: Malaysia akan menerima sumbangan AstraZeneca daripada Jepun mulai Julai ini bagi membantu menyokong dan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sedang dilaksanakan negara.
Kedutaan Jepun di Malaysia, berkata Menteri Luarnya, Motegi Toshimits semalam memaklumkan bekalan vaksin itu akan dihantar bulan depan jika keadaan mengizinkan.
“Berdasarkan pengumuman Menteri Luar Jepun, kedutaannya di Malaysia akan terus bekerjasama dengan kerajaan negara ini untuk menyediakan vaksin kepada rakyat tempatan.
“Ini bakal menjadi satu lagi lambang persahabatan antara Jepun dan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Selain Malaysia, kerajaan Jepun akan menyumbang AstraZeneca yang dikeluarkan di negara itu kepada Indonesia, Filipina dan Thailand.
Kerajaan Jepun sebelum ini adalah negara yang menghulurkan bantuan kepada Malaysia untuk menangani COVID-19, termasuk menyumbangkan peralatan perubatan bernilai kira-kira US$5 juta (RM20.6 juta) pada Januari lalu.
Negara itu turut menghulurkan bantuan kemanusiaan bernilai kira-kira US$2 juta (RM8.24 juta) kepada Malaysia melalui Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) dan Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).
Bagi ASEAN, Jepun sudah mengusulkan penubuhan ‘Pusat ASEAN untuk Kesihatan Awam dan Penyakit Berjangkit’, bertujuan melindungi penduduk di rantau ini serta memberikan sokongan kewangan sebanyak US$50 juta (RM206 juta) melalui Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF).