16 JUN: Keputusan perbincangan Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara, hari ini supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin, menggambarkan keprihatinan institusi berkenaan untuk mencari jalan keluar krisis yang melanda Malaysia.
Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata perkembangan itu meletakkan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai institusi dihormati dan menjadi harapan rakyat berbilang kaum, terutama pada saat getir negara berdepan dengan masalah kesihatan COVID-19, kesempitan ekonomi serta kegawatan politik.
Katanya, pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong selepas mengadakan perbincangan itu juga, menunjukkan bahawa institusi istana sangat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya semak dan imbang sebagai mekanisme penting untuk mengelakkan salah laku, ketirisan serta ketidakcekapan.
“Yang di-Pertuan Agong selaku salah satu elemen dalam Parlimen, selain daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat mempunyai hak amat jelas untuk menyuarakan perkara ini dan Perdana Menteri memiliki tanggungjawab untuk berusaha agar pendangan berkenaan dapat dilaksanakan.
“Penegasan Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin perlu diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet, malah ini dibuat selepas mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang menyertai perbincangan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, petang ini menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas Seri Paduka Baginda mengadakan perbincangan dengan lapan Raja Melayu selama lebih empat jam di Istana Negara bagi membincangkan isu kesihatan dan politik negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, menerusi kenyataan memaklumkan, pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin itu bagi membolehkan pelan pemulihan dan ordinan darurat dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, persoalan yang timbul kini adakah pandangan Yang di-Pertuan Agong itu berbeza dengan perancangan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang Parlimen pada bulan September atau Oktober, iaitu dalam Fasa Ke 3, Pelan Pemulihan Negara.
“Pada dasarnya tarikh persidangan dicadangkan kerajaan itu agak lewat, iaitu dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Oleh yang demikian, Perdana Menteri sewajarnya kembali mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi membuat rundingan agar persidangan dapat diadakan lebih awal dengan hasrat untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan Ahli-ahli Dewan Rakyat, seperti diharapkan Seri Paduka Baginda,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong itu, jelas menunjukkan keprihatinan baginda supaya kerajaan dapat membuat dasar lebih berkesan untuk menangani COVID-19.
“Jika dilihat Ordinan Darurat dibuat hanya dalam tempoh seminggu, jadi mungkin tidak begitu teliti tetapi apabila dibawa ke Parlimen, segala rang undang-undang itu akan dibahas supaya dasar dibuat benar-benar berkesan.
“Jadi apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan supaya Parlimen segera bersidang, baginda sebenarnya prihatin mahu kita fokus untuk melawan COVID-19.
“Parlimen secepat mungkin ini juga membolehkan mana-mana kelemahan ditambah baik,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN