16 JUN: Pelan Pemulihan Negara dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai ‘serampang dua mata’ dalam usaha Malaysia bebas COVID-19 dan menangani kesan pandemik itu.
Pengerusi Biro Ekonomi Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahmad Sobree Abas, berkata pelaksanaan pelan itu mampu membangunkan semula ekonomi dan pada masa sama, rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
“Kami (ARMADA BERSATU) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana bertungkus-lumus memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat bantuan dan menikmati inisiatif disediakan kerajaan.
“Kami yakin sebahagian besar rakyat Malaysia bersama-sama beliau dalam usaha menangani pandemik ini dan kita semua harus yakin bahawa kita akan menang suatu hari nanti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Muhyiddin dalam pembentangannya, semalam memaklumkan pelan itu dirangka sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut COVID-19 yang merangkumi empat fasa, selain membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Fasa pertama pelan itu adalah pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dan fasa kedua, menyaksikan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat serta aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.
Bagi fasa ketiga, membabitkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali berisiko tinggi.
Manakala fasa keempat akan dilaksanakan jika negara berjaya mencapai nilai ambang, seperti purata kes harian menurun di bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat, termasuk kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) mencukupi serta 60 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.
Ahmad Sobree berkata, semua usaha dilaksanakan kerajaan sepanjang pandemik terbabit, termasuk Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Pelan Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), Pelan Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA +) dan terkini, Pelan Pemulihan Negara, menunjukkan keprihatinan pentadbiran Muhyiddin dalam membantu meringankan beban semua golongan rakyat yang terkesan serta mengatasi risiko jangkitan.
“Kami percaya kerajaan benar-benar merasakan kesengsaraan rakyat sepanjang pengalaman PKP 1.0 sehingga PKP 3.0, malah inisiatif terbabit yang diberikan kepada segenap kelompok masyarakat adalah mengikut keperluan dan kepentingan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN