16 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan dibuat sesetengah pihak bahawa kerajaan enggan melaksanakan program vaksinasi secara menyeluruh untuk semua sektor ekonomi.
Katanya, program itu tidak boleh dijalankan secara menyeluruh kerana Malaysia sekarang berdepan dengan masalah kekangan bekalan vaksin COVID-19 yang akan tiba secara berperingkat di negara ini.
“Kerajaan bukan tak mahu beri vaksinasi secara menyeluruh tapi bekalan vaksin kita kena agihkan kepada seluruh negara dan bekalan vaksin datang berperingkat.
“Kita terpaksa agihkan sedangkan kita boleh buat lebih,” katanya melancarkan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di Texas Instruments hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sebagai permulaan program PIKAS akan dilaksanakan di Texas Instruments dengan 300 suntikan akan diberikan sehari dan ia akan diteruskan di kawalsan perkilangan di tempat-tempat lain.
“Saya diberitahu setiap hari sekitar 300 dos suntikan boleh dibuat di (Texas Instruments) walaupun keupayaan untuk melakukan suntikan berganda sehari di sini.
“Bukan tidak mahu berikan tapi bekalan vaksin kita kena agihkan kepada seluruh negara dan bekalan akan datang secara berperingkat,” katanya.
Muhyiddin juga memaklumkan semalam jumlah suntikan harian melebihi 200,000 dan diharapkan ia akan meningkat melebihi 300,000 sunrukan sehari selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata kerajaan akan cuba untuk memberikan perhatian sektor perkilangan bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.
Beliau berkata langkah pemberian vaksin kepada pekerja sektor industri berkenaan diharap dapat mempercepatkan penurunan kes positif COVID-19 di Malaysia pada masa akan datang.
“Ini yang saya harapkan, kita harapkan dengan adanya usaha sebegini, langkah pulihkan negara akan tercapai,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin juga berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memainkan peranan masing-masing untuk menggalakkan orang ramai mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
“Kita nak proses pendaftaran vaksin dalam MySejahtera mohon kerjasama semua pihak, terutamanya badan bukan kerajaan untuk bantu gerakan rakyat yang belum dattar, daftar segera.
“Pelancaran program imunisasi boleh dicapai dengan lebih berjaya, saya harap akan disambut dan dalam tempoh akan datang akan berjaya jumlah lebih ramai,” katanya.
Muhyiddin berkata, berdasarkan pembentangan KKM sektor perkilangan masih menyumbang kepada jangkitan Covid-19, ia termasuklah terdapat majikan yang masih gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi khususnya golongan pekerja akan dilancarkan pada Rabu.
Program vaksinasi PIKAS akan dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenal pasti.
Sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan komited memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah PIKAS, disokong sektor swasta dalam mentadbir pengurusan vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk vaksinasi di premis kilang membabitkan pengamal perubatan swasta.