16 JUN : Empat individu termasuk seorang pegawai sebuah kementerian direman enam hari mulai hari ini kerana disyaki terbabit kes rasuah tender pembekalan sebuah agensi penguat kuasa bernilai RM42 juta.
Perintah reman ke atas semua suspek berusia antara 32 hingga 61 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas menerima permohonan daripada pengawai penyiasat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Difahamkan, kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan membayar rasuah sebanyak lima peratus daripada nilai projek berdasarkan tuntutan kemajuan bagi memperoleh tender perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos saman sebuah agensi penguat kuasa yang bernilai RM42 juta.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.