16 JUN: Lembaga Fatwa Negeri Sarawak menetapkan pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini, ditangguhkan sebagai salah satu usaha membendung penularan wabak COVID-19 di negeri berkenaan.
Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Sarawak Abdul Rahman Junaidi berkata, penangguhan tersebut dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri itu semalam.
“Keputusan ini merangkumi seluruh Sarawak (dengan) tidak membenarkan aktiviti ibadah korban dijalankan di semua tempat,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, Lembaga Fatwa Negeri Sarawak dalam mesyuarat itu juga menetapkan penjagaan nyawa (hifzun nafs) diutamakan dan mengelakkan kemudaratan kesan daripada pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan di Sarawak.
“Majlis Islam Sarawak (MIS) juga menyeru umat Islam terus bersabar dan beristiqamah, terus mematuhi SOP dan bertawakal. Sama-samalah kita berdoa agar pandemik Covid-19 dihapuskan dari muka bumi ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pihak MIS sedar bahawa setiap tahun semakin ramai umat Islam berhasrat melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha.
“MIS menghargai peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini mengenai tuntutan melaksanakan ibadah korban.
“Bagaimanapun, MIS memutuskan pelaksanaan ibadah korban bagi tahun ini hendaklah ditangguhkan,” katanya.
Berikutan itu, MIS berharap umat Islam terus bersabar dan terus beristiqomah memelihara perintah Allah, menjauhi dosa dan maksiat serta memperbanyakkan istighfar memohon keampunan Allah.
“Kita juga terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bertawakal kepada-Nya dan bersama-samalah kita berdoa supaya pandemik COVID-19 dihapuskan daripada muka bumi ini,” katanya.