16 JUN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak pernah menawarkan sebarang bentuk bonus menerusi skim tertentu.
Justeru, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim, Zakaria Othman berkata, jika orang ramai dihubungi pihak tertentu yang menyamar dari jabatan berkenaan menawarkan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH), itu adalah penipuan.
“Jabatan ini telah mendapat maklumat mengenai kewujudan sindiket penipuan (scam) yang menggunakan nama Skim Pembiayaan Hafiz (SPH).
“Beberapa aduan telah diterima berkaitan cubaan untuk menipu orang ramai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menghantar mesej menawarkan bonus hari raya.
“Jabatan ini menegaskan bahawa kami tidak akan sewenang-wenangnya menghubungi orang awam bagi menawarkan sebarang bentuk bonus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Zakaria memaklumkan, segala urusan pemberian peruntukan dan pembiayaan SPH perlu dibuat melalui proses yang telah ditetapkan sahaja.
“Jakim memandang serius perkara ini dan menasihatkan orang awam agar berhati-hati supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya