16 JUN: Raja-Raja Melayu menzahirkan pandangan bahawa program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan agar imuniti kelompok 80 peratus dapat dicapai secepat mungkin.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata Raja-Raja Melayu mahu nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara lain.
“Raja-Raja Melayu juga sependapat pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.
“Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Syed Danial berkata Raja-Raja Melayu juga menyokong dan senada dengan pendirian Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menitahkan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.
Beliau berkata Raja-Raja Melayu berpandangan langkah itu perlu bagi menghormati mekanisme semak dan imbang sebagai antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.
“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.
“Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus COVID-19- 19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.