17 JUN: Ibu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, Bibi MacPherson, 90, meninggal dunia jam 10.54 malam di Kuching.
Pelopor wanita berpolitik di Sarawak itu, menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman Nancy di Kampung Panglima Seman Kuching.
Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Samariang di sini, selepas Zohor hari ini.
Menurut kenyataan pejabat Nancy hari ini, Bibi sepanjang hidupnya adalah antara wanita yang menyumbang bakti terhadap kebajikan dan hak-hak wanita di Sarawak, terutama di kawasan luar bandar.
Allahyarhamah adalah antara nama besar yang menyumbang kepada tertubuhnya sayap kaum ibu dalam sejarah politik Melayu Sarawak, malah sejarah perjuangannya itu didokumentasikan di dalam sebuah buku berjudul “The Pioneer: Sarawak Women in Politics” yang dilancarkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada 2015.
“Anak sulung kepada John Andrew Macpherson, Residen British di Bahagian Ketiga Sarawak semasa zaman pemerintahan Brooke dan ibunya, Chua Eng Dok itu, seorang wanita berketurunan Cina-Iban berasal dari Kapit yang juga keluarga kepada Tun Datuk Patinggi Jugah anak Barieng, salah seorang pejuang kemerdekaan Sarawak.
“Di ketika zaman Jepun memerintah Sarawak, ramai penjawat awam berbangsa Eropah di Sarawak diburu dan kemudian mereka dibunuh, maka begitulah nasib ayah kepada Bibi yang menemui ajalnya di pedang samurai Jepun.
“Bibi dan adik lelakinya, Bujang MacPherson, bagaimanapun diselamatkan pengasuh mereka, iaitu wanita Melayu bernama Rokiah yang membesarkan kedua-duanya seperti anak sendiri di Kampung Panglima Seman di sini,” menurut kenyataan itu.
Pada usia 17 tahun, Allahyarhamah bertemu jodoh dengan seorang guru dari Kampung Santubong, Shukri Mahidi.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata dan Nancy adalah anak ke-10.