17 JUN: Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya susulan titah pandangan yang dikemukakan Al-Sultan Abdullah menerusi kenyataan Istana Negara, semalam.
“Dalam sesi-sesi menghadap ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Perdana Menteri telah menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai perjalanan pengurusan pandemik COVID-19, penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
“Menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,”kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin selepas baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara
Baginda membuat keputusan selepas mengambil kira pandangan semua pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar daripada agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Al-Sultan Abdullah juga menegaskan sidang Parlimen penting bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.
Baginda juga menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya “exit strategy” bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini. – Oleh HAIKA KHAZI