17 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di sembilan lokaliti di Matu, Sarawak dan dua lokaliti di Segamat, Johor selama 14 hari, bermula lusa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu dikenakan selepas kerajaan membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, PKPD itu bertujuan memudahkan pengesanan awal kes positif, sekali gus membendung penularan pandemik terbabit secepat mungkin.
“Di Matu, PKPD ini dikenakan di sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, iaitu Rumah Panjang Salim anak Unang, Rumah Panjang Judy anak Kudi, Rumah Panjang Mathew anak Merang, Rumah Panjang Danggang anak Ujang, Rumah Panjang Lait anak Ijang, Rumah Panjang Chandi anak Kilau, Rumah Panjang Putut anak Jugah, Rumah Panjang Sadin anak Jeli dan Rumah Panjang Mador anak Rendah.
“Seramai 84 penghuni menjalani ujian saringan dijalankan KKM dan daripada jumlah itu, 48 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti 57.14 peratus, malah didapati penularan mula berlaku dan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti terbabit,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.
Ismail Sabri berkata, PKPD di Segamat, membabitkan Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn Bhd di Buloh Kasap.
“Arahan ini dikenakan di lokaliti itu selepas dalam tempoh seminggu, KKM mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 52 kes positif dikesan daripada 488 individu yang menjalani ujian saringan dengan kadar positiviti 10.7 peratus,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di beberapa lokaliti di dua daerah di Sabah, iaitu Kawasan Semarak dan Taman Wawasan, Tawau serta Kampung Pengaraban, Kudat yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan selama dua minggu.
“Sepanjang tempoh itu, KKM menjalankan 486 ujian saringan di Kawasan Semarak dan 102 daripadanya dilaporkan positif, manakala 109 ujian saringan di Kampung Pengaraban pula mendapati 45 daripadanya positif, malah masih berlaku penularan dalam kalangan komuniti, selain kes-kes baharu dilaporkan di situ.
“Pelanjutan di Taman Wawasan pula dikenakan selepas KKM mendapati 20 daripada 133 ujian saringan dijalankan di lokaliti itu didapati positif,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD dilaksanakan di beberapa lokaliti di Terengganu, Sabah dan Sarawak, selepas KKM mengesahkan berlaku penurunan kes serta kluster adalah terkawal.
“Lokaliti di Besut, Terengganu ditamatkan pada 18 Jun 2021 seperti dijadualkan selepas KKM menjalankan 3,366 ujian saringan dan mendapati 277 daripadanya positif,” katanya.
Jelasnya, penamatan di Sabah adalah membabitkan dua lokaliti di Kota Kinabalu, iaitu Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan serta dua lokaliti di Tawau, Taman Milenium dan Kampung Jawa Kongsi 10.
“PKPD di kedua-dua lokaliti di Kota Kinabalu itu yang ditamatkan hari ini dilaksanakan selepas 39 daripada 396 penduduk di Kampung Tanjung Aru Baru disahkan positif, manakala di Rumah Murah Kepayan, 23 kes positif direkodkan daripada 560 ujian saringan dijalankan KKM.
“Manakala PKPD di Taman Milenium dan Kampung Jawa Kongsi 10 yang ditamatkan esok, menyaksikan dalam tempoh itu, sebanyak 206 ujian saringan dijalankan dan 41 daripadanya positif,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD di Sarawak yang membabitkan Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat di Mukah akan dilaksanakan esok.
“KKM sudah menjalankan 88 ujian saringan di lokaliti itu dan 44 daripadanya positif,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN