17 JUN: Seramai 13,837,410 individu sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), setakat semalam.
Menurut twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), setakat semalam juga, seramai hampir 1.5 juta individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin apabila datanya merekodkan 1,476,753 individu.
Seramai 3,642,195 individu pula sudah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 5,108,948 dos, sehingga semalam.
Menurut ciapan media sosial itu, bilangan dos pertama itu mewakili 11.1 peratus populasi rakyat negara ini.
Mengikut perancangan PICK, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari sehingga April lalu, membabitkan lebih 500,000 anggota barisan hadapan.
Fasa kedua bermula program itu pada April sehingga Ogos ini pula, membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU).
Manakala fasa ketiga yang dijadualkan pada Mei tahun ini sehingga Februari 2022, membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara serta bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.