17 JUN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensinya menawarkan moratorium dan bantuan bersasar lain bernilai RM746.79 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata bantuan yang ditawarkan kementerian dan agensinya itu diharapkan dapat meringankan beban dan memberi manfaat kepada sejumlah 734,707 peminjam dan penyewa yang merangkumi perusahaan mikro dan perniagaan tidak formal termasuk dalam kategori B40.
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh MEDAC untuk mengukur kesan PKP 2.0 terhadap sektor PKS Februari lalu, lebih daripada separuh responden mengatakan bahawa mereka tidak pasti akan masa depan dan hanya mampu bertahan selama tiga hingga enam bulan sekiranya PKP terus berlanjutan.
“PKS terutamanya perniagaan mikro dan tidak rasmi adalah kumpulan yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di seluruh negara dan memerlukan semua bantuan untuk kekal bertahan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Agensi MEDAC yang menawarkan moratorium dan bantuan bersasar ialah Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, SME Corporation Malaysia (SME Corp), Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan UDA Holdings Bhd.
Wan Junaidi berkata, sebahagian besar perniagaan kecil ini tidak mempunyai banyak simpanan dan mereka memerlukan semua bantuan untuk bertahan.
“Kami berharap moratorium dan bantuan bersasar yang ditawarkan agensi di bawah MEDAC dapat membantu mereka dalam tempoh mencabar ini,” katanya.
Sementara itu, Wan Junaidi menjelaskan, MEDAC sedang melaksanakan satu lagi kaji selidik bagi mengukur kesan PKP 3.0 kepada sektor PKS, yang meliputi perusahaan mikro dan perniagaan tidak formal.
Katanya, memandangkan lebih 80 peratus PKS yang menawarkan perkhidmatan dan produk yang berada dalam perkhidmatan tidak penting, banyak peserta industri akan terjejas disebabkan sekatan pergerakan yang lebih ketat kali ini.
“Daripada tinjauan terbaharu ini, kami berharap dapat menilai keadaan dengan lebih baik dan seterusnya dapat membantu kami tampil dengan bantuan dan program yang lebih tepat dengan PKS,” katanya.