17 JUN : Pejabat akhbar pro-demokrasi, Apple Daily, pagi tadi diserbu pihak berkuasa Hong Kong kerana didakwa bersekongkol dengan negara asing atau dengan unsur luar untuk membahayakan keselamatan negara.
Dalam serbuan tersebut, polis Hong Kong menahan lima eksekutif termasuk Ketua Pengarangnya, Ryan Law mengikut undang-undang keselamatan negara.
Kelima-lima individu yang ditahan itu adalah eksekutif Next Digital, iaitu syarikat induk Apple Daily.
Penahanan itu adalah operasi terbaru polis ke atas tabloid popular yang menyokong gerakan pro-demokrasi di Hong Kong.
Apple Daily mengesahkan serbuan dan penahanan lima pekerjanya dan menyiarkan rakaman langsung serbuan terbabit di akaun Facebooknya.
Ia adalah serbuan kedua terhadap syarikat akhbar itu dalam tempoh kurang daripada setahun.
Apple Daily dimiliki jutawan Jimmy Lai yang juga dikatakan penyokong prodemokrasi dan lantang mengkritik pihak berkuasa.
Beliau ketika ini sedang dihukum penjara kerana dituduh menyertai tunjuk perasaan prodemokrasi di bandar raya itu dua tahun lalu.