18 JUN: Sebanyak 106 kilang telah diarahkan tutup sejak 1 Jun lalu kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 498 buah kilang sejak 1 Jun sehingga semalam bagi memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi SOP PKP menyeluruh.
“Kerajaan telah melaksanakan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melanggar SOP yang telah diwartakan.
“Secara kumulatifnya, sebanyak 24,928 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa sejak 14 Januari 2021 yang melibatkan 22,819 premis perniagaan dan 2,109 kilang.
“Sehingga kini, 160 kilang dan 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di 16 lokaliti dan dua Mukim di Sabah, Perak, dan Johor berikutan kes telah menurun dan Kluster adalah terkawal di samping semua kes positif telah menerima rawatan.
Daripada jumlah itu, beliau mengesahkan tujuh daripada yang akan ditamatkan ialah di Sabah iaitu di Taman Wawasan, Tawau; Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni di Papar; Taman Wangsa dan Jalan Telipok di Kota Kinabalu; Jalan Budi Sri Tanjung, Tawau; dan Taman Pelangi, di Semporna.
“Selain itu, sembilan lagi PKPD yang akan ditamatkan di Perak iaitu Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah di Ulu Kinta; Kampung Air Panas, Mukim dan Kampung Kuak Luar di Mukim Pengkalan serta Kampung Alai dan Kampung Baharu di Mukim Kerunai; Taman Kerian Tambahan, Kerian dan Taman Berkat, LMS dan selebihnya adalah di Felda Redong 1, di Segamat.
“Dua Mukim yang akan ditamatkan PKPD pula ialah Mukim Matang di LMS, Perak dan Mukim Labis, Segamat, Johor dan PKPD ini dilakukan bagi membolehkan KKM menjalankan saringan komuniti, mengesan dan mengasingkan kes baru serta melakukanpengesanan kontak dengan berkesan.
“Justeru itu, hanya Felda Redong 1, Mukim Labis di Johor serta Taman Pelangi di Semporna Sabah akan ditamatkan bermula hari ini manakala selebihnya akan ditamatkan berkuat kuasa mulai tengah malam ini,” katanya.
Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Gusi Kinarut, Papar serta Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat di Sabah yang sepatutnya ditamatkan esok.
“KKM mendapati penularan masih berlaku, terdapat juga kes baharu direkodkan dalam kalangan komuniti dan masih banyak sampel ujian saringan belum mendapat keputusan. Justeru, kedua-dua lokaliti di Sabah ini akan dilanjutkan PKPD bermula 20 Jun sehingga 3 Julai 2021,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0 semalam menunjukkan penurunan kepada 759 berbanding 764 kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata daripada keseluruhan tangkapan, seramai 711 individu dikompaun manakala 48 orang lagi direman.
“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah individu gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis sebanyak 140 kes dan tiada penjarakan fizikal sebanyak 136 kes.
“Kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (135), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (123), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (94), membawa penumpang berlebihan (55), premis gagal patuhi arahan (14) dan lain-lain (62),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH