18 JUN: Pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 mereka, bermula Julai depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech itu akan diadakan di sekolah.
Menurut beliau, suntikan vaksin itu adalah cadangan daripada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin namun masih belum diputuskan lagi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita akan cuba selesaikan dos pertama pada bulan Julai ini membabitkan pelajar SPM 2021 yang kemungkinan besar akan kembali ke sekolah pada bulan Ogos.
“Jadi, kita cuba selesaikan suntikan vaksin pertama kepada pelajar SPM pada bulan Julai dan Suntikan akan dibuat di sekolah masing-masing,” katanya menerusi sidang secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, kerajaan akan menyusun semula jadual pengagihan vaksin COVID-19 bagi membolehkan negeri-negeri yang berisiko banjir diberi keutamaan.
Beliau berkata, diharapkan proses pengagihan dapat diselesaikan sebelum bulan Oktober ini bagi memastikan proses pengagihan vaksin lancar dan penduduk khususnya di kawasan berisko banjir menerima suntikan.
“Di Pahang, Jun ini kita akan hantar sebanyak 180,000 dos vaksin dan untuk bulan Julai kita mensasarkan 400,000 bekalan dos akan di hantar ke Pahang yang merupakan satu peningkatan yang besar.
“Kita harapkan kita akan dapat selesaikannya pengagihan vaksin sebelum musim tengkujuh. Jika tidak, kita akan lihat apa strategi yang boleh kita laksanakan untuk pemberian vaksin pada musim tengkujuh,” katanya.
Sementara itu, Khairy memberitahu Kerajaan Persekutuan juga akan membekalkan vaksin CanSino kepada Pahang dan kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau berkata kerajaan dijangka menerima bekalan vaksin berkenaan bulan depan dan berapa banyak dos bakal diterima akan diumumkan secara rasmi selepas ini.
“Untuk vaksin CanSino, ia hanya membabitkan satu suntikan dos saja. Kita akan hantar kepada Pahang dan kawasan pedalaman dan Orang Asli seperti Ulu Tembeling yang memerlukan 3 ke 4 jam untuk ke sana.
“Vaksin itu bersesuaian kerana petugas tidak perlu masuk ke kawasan Orang Asli dua kali untuk tujuan suntikan berkenaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH