18 JUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyertai Program Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berselawat Bersama Perdana Menteri dan Rakyat Malaysia yang diadakan serentak di 89 PKRC di seluruh negara.
Program diadakan secara maya bermula jam 8.30 pagi itu bagi memohon kesejahteraan warga PKRC dan seluruh rakyat yang kini melawan COVID-19.
Bacaan selawat itu dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Mohd Hashim bersama dua qari, Ahmad Tarmizi Ali dan Amir Rahman Abbas di Masjid Putra, Putrajaya.
Selain Muhyiddin, program disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan itu, disertai barisan ahli kabinet, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, pemimpin kanan kerajaan, petugas barisan hadapan dan pesakit di PKRC.
Bacaan selawat itu diakhiri dengan doa keselamatan daripada Ikmal Zaidi, termasuk memohon Allah SWT memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada segala penyakit berbahaya, selain mendoakan kesejahteraan dan kestabilan negara.