18 JUN: Kes baharu COVID-19 merekodkan peningkatan untuk hari ketiga berturut-turut hari ini apabila sebanyak 6,440 kes dikesan di seluruh negara, berbanding 5,738 kes semalam dan 5,150 kes, kelmarin
Selangor turut mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini dengan sebanyak 2,096 kes, malah peningkatan melebihi 2,000 kes terbabit direkodkan selepas enam hari kes pandemik berkenaan berada di bawah angka itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 adalah sebanyak 685,204 kes, setakat ini.
“Negeri lain yang menunjukkan peningkatan kes adalah Kuala Lumpur, iaitu 816 kes, Johor (449), Kelantan (200), Pulau Pinang (122), Melaka (223), Labuan (152), Pahang (79) dan Perlis (2), manakala Perak mencatatkan pertambahan mendadak dengan merekodkan 357 kes, berbanding hanya 30 semalam.
“Lima negeri menunjukkan penurunan kes baharu, iaitu Negeri Sembilan (870), Sarawak (536), Sabah (199), Kedah (159), Terengganu (32) dan Putrajaya (6),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN