Sidang DUN: Ketepi Ideologi Politik, Fokus Tangani COVID-19
18 JUN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah diseru mengenepikan ideologi politik masing-masing apabila persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka dalam masa terdekat ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pembukaan sidang DUN ini penting bagi membolehkan isu-isu berkaitan pandemik COVID-19 dapat ditangani sebaiknya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan ADUN Lamag ini berkata, persidangan DUN akan dibuka semula sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan untuk segera membuka sidang Parlimen.
“Persidangan DUN akan memberi peluang kepada semua wakil rakyat membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat dengan mengenepikan idelologi politik bagi mencari jalan keluar daripada krisis yang dihadapi ketika ini.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa mengalu-alukan pandangan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bagi menangani pandemik COVID-19 serta isu-isu lain seperti pembangunan dan ekonomi yang terjejas akibat pandemik ini.
“Saya bersetuju agar sidang DUN Sabah diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membolehkan ADUN berbincang dan membahaskan pelbagai isu terutama berkaitan penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Bung yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, kerajaan GRS merupakan kerajaan yang bertoleransi dan bersedia menerima pandangan daripada semua pihak termasuk pembangkang.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Sabah hari ini menyatakan kesediaan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa, jika keadaan mengizinkan.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor memberitahu keputusan mengadakan semula sidang DUN akan dimaklumkan selepas mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim Yahya, mengenai perkara itu, semalam.
Kali terakhir DUN Sabah bersidang ialah pada 18 Disember hingga 23 Disember lalu, bagi membentang Belanjawan Negeri 2021