18 JUN: Semua pihak ketika ini wajar meletakkan agenda pengurusan pandemik COVID-19 dan pemerkasaan ekonomi sebagai fokus utama daripada terus menimbulkan polemik politik dan memperjuangkan agenda peribadi.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, jika perkera itu ditimbulkan, ia boleh memecahbelahkan agenda pemulihan negara yang direncanakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru, beliau mengesakan Armada meletakkan keyakinan bahawa satu-satunya jalan keluar secara bersama dalam situasi semasa yang semakin menunjukkan kesan positif ini adalah dengan semua pihak memberi fokus menjayakan strategi Pelan Pemulihan Negara.
“Armada Bersatu senada dengan pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa sekarang adalah masa untuk bekerjasama dengan semua pihak atas faktor keselamatan dan kesihatan rakyat, bukan untuk politiking serta mengejar agenda peribadi.
“Sehubungan itu, bagi mewakili Armad Bersatu selaku sayap yang membawa suara anak muda yang turut terkesan dengan situasi pandemik, merasakan amat wajar untuk segenap pihak meletakkan fokus kepada agenda pengurusan COVID-19 dan pemerkasaan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Ashraf memaklumkan, kesediaan dan komitmen kerajaan berhubung pembukaan semula sidang Parlimen amat jelas bagi tujuan pemulihan negara amat jelas.
“Namun apa yang wajar dipertimbangkan oleh rakyat adalah kesedaran sejauh mana keikhlasan pihak pembangkang untuk mengunakan sidang parlimen berketepatan dengan iltizam Majlis Raja-raja Melayu.
“Perkara ini juga elaras dengan hasrat Perdana Menteri yang telah lebih awal mengemukakan agenda untuk menjayakan sidang parlimen.
“Justeru, pembukaan Parlimen ini perlu diberi perhatian untuk membulatkan tekad serta agenda demi rakyat dan juga pemulihan negara atas kesungguhan membantu semak imbang dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH