19 JUN: Sekurang-kurangnya 27 pelombong maut manakala 16 cedera selepas bas yang dinaiki mereka terhumban dalam gaung di selatan Peru, semalam.
Syarikat perlombongan Ares memaklumkan bas itu dalam perjalanan dari tapak arkeologi Nasca Lines menuju ke bandar Arequipa.
Berdasarkan laporan media, bas itu terhumban ke dalam gaung sedalam 400 meter menyebabkan penumpang tercampak keluar.
Menurut seorang pegawai, pemandu bas itu mungkin terlelap ketika perjalanan.
Syarikat perlombongan itu memaklumkan pelombong tersebut bekerja di tapak arkeologi itu selama beberapa minggu dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
Menurut stesen radio, RPP, sebanyak 16 pelombong mengalami kecederaan dalam insiden tersebut dan mereka telah dibawa ke Hospital Nasca.
“Abang saya tercampak keluar dari bas dan terjatuh di atas batu. Dia cedera dan tidak dapat gerakkan badannya.
“Mereka akan menghantarnya ke Lima untuk rawatan lanjut,” kata seorang wanita bernama Adriana Cruz Taipe.
Syarikat perlombongan itu pada awalnya memaklumkan semua individu yang maut merupakan pelombong namun seorang pendakwa raya di pekan Puquio, Jhnonny Romero memberitahu kematian tersebut turut membabitkan pemandu bas tersebut.
“Laluan bergunung itu amat berbahaya dan tertidur mungkin punca kemalangan tersebut,” kata Romero.
Kejadian itu adalah kemalangan kedua paling buruk dalam tempoh 10 hari di Peru.
Seramai 17 maut minggu lalu apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung di wilayah La Libertad, 500 kilometer dari utara Lima.