Kerajaan timbang lanjut operasi perniagaan, moratarium
19 JUN: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan operasi sektor ekonomi dari jam 8 pagi sehingga 10 malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan mengambil kira permohonan dikemukakan beberapa pihak itu, namun keputusan perlu dilakukan mengikut perkembangan semasa COVID-19.
Katanya, tiga kementerian utama, iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan diberikan tanggungjawab bagi membincangkan perkara berkenaan sebelum sebarang keputusan dilakukan.
“Banyak permohonan dibuat, malah melalui perbincangan dengan penggiat industri, mereka juga memohon perkara sama iaitu melanjutkan operasi sehingga jam 10 malam, namun perkara ini masih dalam pertimbangan dan pagi tadi pun kita ada perbincangan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dimaklumkan juga mengenai melanjutkan operasi perniagaan, moratarium dan hal-hal lain, termasuk isu subsidi upah serta bekalan makanan.
“Buat masa sekarang ini belum ada keputusan, cuma kita akui memang menerima pelbagai permohonan membabitkan isu berkenaan,” katanya kepada media ketika melakukan tinjauan ke Program Outreach COVID-19 di Pejabat Ahli Parlimen Jeli, Kelantan, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin.
Mustapa berkata, kerajaan kini berdepan dua kelompok masyarakat, iaitu kumpulan mendesak agar kerajaan tidak membuka terlalu banyak sektor ekonomi bagi memberi fokus sepenuhnya kepada pemulihan pandemik terbabit dalam jangka masa pendek.
Satu kumpulan lagi, katanya, menggesa pembukaan semula ekonomi yang membabitkan peniaga-peniaga kecil, terutama mereka berkaitan perusahaan industri kecil dan sederhana.
“Mereka rasa terhimpit dan mahu kerajaan melonggarkan waktu perniagaan dan sebagainya, jadi dalam menguruskan krisis ini, kita kena tengok mana terbaik untuk negara, iaitu ada keseimbangan antara dua pihak kerana ada dua kumpulan masyarakat berlainan pendapat.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita perlu lihat daripada pelbagai sudut, iaitu kesihatan dan ekonomi.
“Mengenai moratarium pula, memang ramai tanya, namun perkara ini sedang dikaji dengan teliti Kementerian Kewangan dan agensi perbankan, jadi sama-sama kita tunggu keputusannya nanti,” katanya.